Akhirat
destinasi yang akhir buat manusia. Tapi malangnya dia telah dilupakan
oleh manusia. Persediaan untuk ke sana diabaikan. Tempat persinggahan
sementara ke Akhirat ialah kubur atau Alam Barzakh. Border di antara
dunia dan Akhirat. Di sana ada peperiksaan, juga telah dilupakan dan
dilalaikan orang. Iman dan amal soleh penyelamat manusia di Akhirat
sana. Namun ia dicuaikan. Dosa dan derhaka pemusnah kehidupan mereka di
Darul Qurar itu. Tapi itulah yang diusahakan dan diperjuangkan. Dunia
negara fana yang ditinggalkan. Tapi ia dipandang besar dan diambil
berat serta berpenat-penat. Menompok-nompok harta yang akan binasa.
Akhirat terus dilupakan. Bila dingatkan hati mereka sakit. Dimusuhi dan
dianggap pengacau masyarakat. Dituduh penjahat-penjahat. Begitulah
majoriti manusia di dunia. Dunia yang akan ditinggalkan. Menjadi idaman
dan buruan. Akhirat tempat tinggal yang kekal abadi dilupakan.
Kamis, 30 Maret 2017
Umumnya sebahagian ulama hari ini mentafsirkan kesederhanaan itu ialah
50-50. Dengan istilah yang masyhur itu, iaitu fifty-fifty, mereka pun
membenarkan hal-hal seperti berikut berlaku dalam masyarakat umat
Islam.
1. Campur-aduk antara hal-hal yang membawa dosa dengan pahala. Yakni
antara maksiat dan amal soleh.
2. Tidak boleh ekstrim dalam beragama. Iaitu tidak boleh ikut l00%
ajaran Islam itu. Ikut setakat mana yang tidak bercanggah dengan adat
resam atau budaya orang Melayu.
3. Mengimbangkan amalan dunia dengan Akhirat iaitu untuk dunia 50% dan
Akhirat juga 50%.
Dengan konsep fifty-fifty ini, maka berlakulah apa yang telah berlaku
sekarang, iaitu:
1. Umat Islam pergi ke masjid tapi pergi juga ke panggung wayang. Pergi
ke Makkah tetapi pergi juga ke disko. Puasa tetapi dedah aurat. berzakat
tapi ambil , riba Mereka buat amal soleh tetapi mereka juga buat
maksiat. Mereka baik, tetapi jahat. Kalau siaran tv di Malaysia, selepas
menyiarkan azan, disiarkan pula persembahan rock. Bila ada orang yang
serius beragama, dituduh ketinggalan zaman. Wanita berpurdah dikatakan
ekstrim. Siapa sembahyang sunat lebih sikit dibimbangi tinggal dunia.
Isteri yang taat suami dianggap bodoh dan melulu. Makan dalam dulang
dituduh pengotor. Hidup cara Sunnah digelar ortodoks. Asyik dengan Al
Quran dikatakan gila. Berzuhud dianggap anti establishment.
Pendek kata, kalau ajaran Islam diamalkan lebih dari yang biasa
diamalkan oleh kebanyakan orang, ia sudah dikatakan ekstrim. Itu belum
lagi buat 100%. Yang mereka mahu ialah sederhana. Katanya, "Sembahyang
sunat jangan banyak sangat, macam biasalah", “Pakai jangan teruk sangat
sampai tak nampak hidung. Baju kurung dan mini telekung sudah cukup",
"Jangan tunduk saja, pandang-pandanglah perempuan, berbual-bual dengan
mereka". Begitu juga perempuan, "Jangan serius sangat, bergelak
ketawalah dengan kawan-kawan lelaki (ajnabi), nanti tak berukhuwah dan
tak pandai bermasyarakat pula."
Timbul anggapan bahawa dengan Akhirat kita kena bersederhana saja. Dunia
mahu juga, kata mereka. Kata-kata ini didasarkan pada apa yang mereka
faham dari Hadis: Beramallah untuk Akhiratmu seolah-olah kamu akan mati
esok hari. Dan beramallah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup
selama-lamanya. (Riwayat lbnu Asakir)
Mereka kata, Rasulullah suruh buru dunia dan Akhirat. Maka mereka pun
burulah dunia sampai terlupakan Akhirat atau dikemudiankan hal-hal
Akhirat. Mereka bekerja bertungkus-lumus sampai tinggal sembahyang.
Mereka berniaga ke hulu ke hilir, tidak kira halal haram. Mereka
bangunkan dunia semahu-mahunya dengan segala peralatan mewah, rumah
banglo atau istana, kereta besar dan lain-lain lagi, hinggakan Akhirat
seolah-olah tidak wujud lagi. Orang-orang yang mahu 50% dunia 50%
Akhirat ini, umumnya kita lihat terperangkap dalam dunia 100% hingga
Akhirat tinggal 0%. Kalau ada juga amalan Akhirat, itu pun
'diduniakan'nya. Belum pernah kita lihat seorang yang benar-benar buat
50% dunia, 50% Akhirat. Yakni masanya 50% untuk urusan dunia, 50% lagi
untuk Akhirat. Hartanya 50% untuk dunia, 50% untuk Akhirat. Fikirannya
50% dunia, 50% Akhirat. Wang ringgitnya 50% dunia, 50% Akhirat. Ya,
nampaknya tidak jadi begitu. Kalaulah berlaku begitu,boleh tahan juga.
Tetapi apa yang berlaku, umat Islam karam dan tenggelam dalam tipuan
dunia. Bergelumang dengan berbagai-bagai bentuk maksiat. Kerana itulah
kita tidak boleh terima konsep kesederhanaan itu, sepertimana yang
difahami dan diamalkan dalam masyarakat kini. Sebab ianya telah membawa
umat ke satu bentuk kehidupan yang bertentangan dengan kehendak Islam
itu sendiri. Umat Islam kini seolah-olah menganut agama yang
bercampur-aduk. Tidak tulen Islam, sebagaimana yang telah diamalkan oleh
Rasulullah dan salafussoleh.
Pada kita, orang yang mengatakan, "Saya ni masjid pergi, panggung wayang
pun masuk juga. Agama, agamalah tapi dunia jangan lupa. Minyak dengan
air tak bercampur" samalah halnya dengan orang yang mengatakan: "Saya
makan daging lembu. Tapi tahi lembu pun makan juga. Daging, daginglah,
tahinya pun perlu juga. Masing-masing ada gunanya." Sebab, dalam Islam,
ibadah dan hiburan semuanya mesti dibuat kerana ALLAH, mengikut
landasan syariat, yakni tidak membawa kepada haram atau makruh. Seorang
yang beribadah, boleh juga berhibur. Dengan syarat hiburan itu, hiburan
yang dibenarkan oleh Islam. Yakni sebarang bentuk nyanyian, lakonan,
puisi, drama, filem dan lain-lain yang dipersembahkan mestilah di atas
lima syarat iaitu:
1. Niat kerana ALLAH.
2. Sah menurut syariat.
3. Perlaksanaannya sah menurut Islam.
4. Natijahnya baik.
5. Tidak meninggalkan sembahyang dan lain-lain ibadah yang asas.
Seorang yang patuh pada ALLAH dan Rasul, sesudah melakukan semua suruhan
ALLAH, sentiasa pula menjaga dirinya dari melakukan perkara-perkara
yang dimurkai ALLAH, iaitu perkara-perkara maksiat yang haram atau
makruh. Contohnya, dedah aurat, bergaul bebas, bohong, tipu, mengumpat,
berzina, terlibat dengan riba, rasuah, ambil dadah, membazir,
menyalahgunakan kuasa dan lain-lain lagi. Seorang yang melakukan semua
itu atau salah satu darinya, dikira berdosa dan derhaka. Iman dan
Islamnya rosak dan cacat. Dia akan dimurkai oleh ALLAH, diazab dengan
Neraka atau ALLAH benci padanya. Sebab itu seorang Islam tiada alasan
untuk merelakan dirinya terjebak dalam sebarang maksiat dan dosa. Sebab
itu kalau orang berkata, dia pergi masjid dan pergi juga panggung
wayang, ertinya dia bukan seorang Islam yang tulen. Yang sebenarnya, dia
menentang ajaran Islam. Dia mencampurkan yang hak dengan yang batil.
Yang suci dengan najis. Jangan anggap fahaman inilah sebenarnya
kesederhanaan dalam Islam. Dia ini penghuni Neraka.
Buktinya, bacalah firman ALLAH ini: Orang-orang yang mengungkap
kata-kata seperti di atas itu, pada saya membuat dua kesilapan. Pertama,
dengan kata-kata itu mereka telah menafikan firman ALLAH: Sesungguhnya
sembahyang itu mencegah perbuatan keji dan mungkar. (Al Ankabut: 45)
ALLAH berkata orang yang benar-benar sembahyang tidak akan melakukan
sebarang bentuk perbuatan keji dan mungkar (dosa dan maksiat). Maknanya,
orang yang ke masjid, dia tidak akan ke panggung wayang. Tetapi kalau
ada yang ke masjid, masih pergi juga ke tempat maksiat, itu pada
hakikatnya mereka tidak sembahyang. Sembah-yang mereka tidak betul.
Pokok tidak berbuah.
Sedangkan ALLAH sangat marah pada orang-orang yang sembahyangnya penuh
kelalaian atau orang yang sembahyang tetapi masih buat maksiat ini.
Firman ALLAH: Neraka Wail bagi orang yang sembahyang, yang mereka itu
lalai dalam sembahyangnya.(Al Ma'un: 4-5)
Orang yang sembahyang tetapi tidak menunaikan janji-janjinya dengan
ALLAH sepertimana yang dilafaz dalam sembahyang itu, sebaliknya masih
melanggar janji-janjinya itu dengan melakukan maksiat dan kemungkaran
kepada ALLAH, tempatnya di Neraka Wail. Wal'iyazubillah.
Kesilapan kedua ialah menganggap dalam Islam tidak ada hiburan.
Seolah-olah Islam itu ajarannya berat-berat saja, serius semuanya. Tiada
yang ringan-ringan, yang menghibur dan meredakan ketegangan jiwa dan
fikiran. Itu adalah anggapan yang salah Islam itu 'complete way of life'
sesempurna-sempurna cara hidup. Mana mungkin Islam tidak benarkan
berhibur kalau ia sempurna atau syumul?
Hiburan dalam Islam cukup luas. Cuma sayang umat Islam tidak
mengusahakannya. Orang bukan Islam yang buat. Umat Islam tiru dan ikut
sahaja. Sebab itu panggung wayang penuh dengan maksiat. Kalau umat Islam
dapat buang maksiat dalam panggung wayang, ganti dengan perkara yang
halal dan suci, maka di waktu itu pergi ke panggung wayang untuk
berhibur-hibur adalah ibadah kepada ALLAH SWT.
Seterusnya pandangan tentang anggapan atau tuduhan 'pelampau' kepada
orang-orang 'yang serius beragama. Yakni yang melaksanakan perintah
ALLAH sungguh-sungguh dan lebih banyak dari biasa. Yang mana
kadang-kadang golongan ulama pun tersasul mengatakan ekstrim kepada
mereka yang bersungguh-sungguh beragama itu. Tak usahlah berlebih-lebih
sangat. Buat macam biasa dah cukup. Islam suruh bersederhana dalam semua
hal. Demikianlah komen sebahagian alim ulama. Mereka menganggap
sederhana itu ialah beramal sikit atau separuh sahaja dari ajaran Islam.
Kalau buat semua, itu ekstrim namanya.
Sederhana dalam Islam bukan ertinya mengurangkan amalan-amalan yang
diperintahkan oleh ALLAH dan Rasul-Nya. Contohnya, seorang yang
sembahyang sunat beratus-ratus rakaat banyaknya, jauh lebih banyak
daripada bilangan rakaat yang biasa dibuat oleh umum umat Islam hari
ini, itu bukanlah seorang yang ekstrim. Tetapi dialah orang yang terbaik
daripada orang lain, di sudut itu. Kerana dia mampu melaksanakan semua
sembahyang sunat yang ada diperintahkan oleh ALLAH dan Rasul. Sunat
Rawatib, sunat Awwabin, sunat Wudhuk, sunat Dhuha, sunat Isyraq, sunat
Tahajjud, sunat Hajat, sunat Tasbih, sunat Witir, sunat Tarawih, sunat
Mutlak dan bermacam-macam jenis sembahyang sunat lagi. Yang mana kalau
semua itu dibuat, memang boleh sampai beribu rakaat. Sebab tiap satu
sembahyang sunat itu bukan setakat dua rakaat sahaja tetapi lebih
daripada itu. Ada dua belas, ada lapan, ada enam, ada dua puluh, ada
tiga dan ada yang tanpa limit, boleh buat seberapa banyak yang sanggup.
Kalaulah orang yang buat semua jenis sembahyang sunat ini sebagaimana
yang dikehendaki oleh ALLAH, sehingga beratus-ratus rakaat, dia
dikatakan ekstrim, pelampau atau sebagainya, jadi untuk apa ALLAH
perintahkan bermacam-macam jenis sembahyang itu semua? Kalaulah hal itu
dikatakan melampau, mengapa ALLAH perintahkan? Sedangkan kita yakin,
perintah ALLAH itu adalah sebaik-baik kalimah. Jadi tuduhan melampau
kepada orang-orang yang bersungguh-sungguh beramal itu sebenarnya tidak
adil dan tidak tepat. Kata-kata tersebut bertentangan dengan ajaran
Islam yang sebenarnya. Kata-kata itu bukan dari ALLAH dan Rasul. Maka
sesiapa yang masih menuduh pelampau itu, dia sebenarnya bermusuh dengan
ALLAH dan Rasul-Nya.
Contoh lain, juga dikatakan ekstrim kepada seseorang yang berkorban
berhabis-habisan untuk jihad fisabilillah. Umpamanya untuk membangunkan
projek-projek pembangunan tamadun Islam. Yang orang itu asalnya hidup
meriah tetapi jadi zuhud sekali kerana memberi kekayaan pada jemaah
Islam. Sebaliknya, dia dikatakan pelampau kerana telah berkorban lebih
dari apa yang orang lain biasa lakukan. Dia disuruh bersederhana iaitu
dengan mengurangkan pengorbanan harta di jalan ALLAH supaya serupa
seperti yang orang ramai lakukan. Dan supaya dia masih nampak kaya dan
mewah hidupnya, jangan sampai hidup susah, hanya kerana terlalu banyak
berkorban ke-pada Islam. Itu bodoh namanya, kata orang-orang yang
menuduh itu.
Sebagai jawapan tentang persoalan ini, mari kita lihat pengorbanan
Rasulullah dan para Sahabat. Dengan iman dan taqwa yang terlalu tinggi,
Rasulullah bukan sahaja harta bendanya habis dikorbankan kepada ALLAH,
tetapi makanan yang berlebih waktu malam pun tidak disimpan untuk pagi.
Baginda akan sedekahkan pada orang yang memerlukan pada malam itu juga.
Atas dasar, baginda tidak yakin yang esoknya baginda masih hidup.
Baginda tidak mahu mati dalam keadaan masih ada harta ALLAH yang
disimpan untuk peribadinya. Sayidina Abu Bakar As Siddiq bukankah kerana
iman yang bulat, telah berkorban seluruh hartanya pada perjuangan
Islam? Rasul terkejut dan lantas bertanya, "Apa lagi yang tinggal
untukmu dan keluarga?" Jawab Sahabat itu, "Cukuplah ALLAH dan Rasul-Nya
untukku."
Ekstrimkah mereka itu? Bukankah sikap atau Sunnah Rasul itu adalah
contoh teladan dan ikutan kita? Siapa yang berkata, "Itu Rasul,
bolehlah!" nyatalah ia berbohong kerana mengatakan perbuatan Rasul itu
khusus untuk peribadinya, bukan untuk dicontohi oleh umatnya. Kalau kita
masih mahu menganggap orang-orang yang berhabis-habisan harta benda di
jalan ALLAH itu ekstrim, ketahuilah bahawa kita seolah-olah berkata,
"Rasul dan para Sahabat itu ekstrim dalam beragama." Kalau begitu
nampaknya kita lebih hebat dari Rasulullah dalam cara ber-agama.
Masya-ALLAH, ucapan ini boleh merosakkan aqidah. Wal'iyazubillah. Tetapi
pelik, kalau ada orang berhabis-habisan harta dan wang gajinya untuk
tunangnya atau untuk perem-puan simpanan atau untuk girl friendnya,
tidak pula terdengar tuduhan ekstrim ini. Bahkan itu pula dianggap hebat
dan patut diberi simpati. Hingga tidak segan-silulah orang itu
meneruskan pengorbanannya yang sia-sia. Kerana dirasakan itulah
pengorbanan yang suci dan patut dilakukan.
Padahal dengan ALLAH-lah manusia sepatutnya berhabis-habisan. Kerana apa
yang kita harap dari ALLAH, jauh lebih besar nilainya daripada apa yang
kita inginkan pada seorang perempuan. Tetapi malang, hal itu tidak
dibenarkan berlaku. Kerana fikiran umat sudah terbalik. Yang baik
dituduh jahat, yang jahat dikatakan baik. Perintah ALLAH dan Rasul
dipertikaikan. Perintah nafsu yang diperturut dan dibenarkan. Hanya
mukmin yang bertaqwa yang dapat keluar dan bebas dari belenggu dunia
yang sudah terbalik ini. Contoh lain tuduhan ekstrim yang dibuat ialah
tentang pemakaian purdah dan serban. Wanita yang menutup seluruh
auratnya dikatakan pelampau. Sebaliknya yang elok ialah pakaian-pakaian
yang biasa dipakai oleh orang Melayu. Itulah sederhana namanya. Orang
Melayu pakai kopiah atau songkok sudah cukup, tidak payah pakai serban
ke hulu ke hilir. Itu sikap yang ekstrim, konon katanya.
Walhal Islam tidak berkata begitu. Rasulullah SAW berjubah serban.
Isteri-isteri baginda dan wanita-wanita beriman di zamannya memakai
purdah. Yakni pakaian yang paling tepat untuk menutup aurat wanita. Ia
bukannya keterlaluan atau melampau kalau diukur dengan ilmu kebenaran
atau pandangan umum. Akal dan nafsu kita yang jahil dan jahat sahaja
yang mengandaikan yang bukan-bukan terhadap ajaran Islam itu. Mata lahir
kita saja yang rasa sakit dengan purdah. Sebab mereka sudah biasa
dengan pakaian Melayu yang tidak sempurna itu. Walhal bila mereka sudah
biasa pula dengan purdah, mereka akan merasa cantik pula berpurdah. Alah
bisa tegal biasa, kata pepatah Melayu.
Dulu-dulu waktu wanita Melayu berselubung dengan kain batik sewaktu
mereka keluar berjalan-jalan, cuma nampak mata saja, ia dibenarkan. Maka
tidak ada sebab purdah perlu ditentang. Ia tidak menghalang kebebasan
dan keselesaan wanita bekerja. Buktinya boleh dilihat pada wanita-wanita
purdah yang sudah ramai kini. Mereka aktif bergerak memperjuangkan
agama ALLAH dalam apa saja bidang yang sesuai dengan mereka. Ada di
kalangan mereka yang sudah pergi ke merata negara di dunia untuk
berdakwah dan ziarah.
Habis mengapa timbul fahaman 50-50? Mengapa diselewengkan maksud
Rasulullah dengan begitu berani sekali? Ada tiga sebab mengapa
terjadinya demikian, dan ketiga-tiga sebab itu adalah terbit dari tiga
golongan yang berbeza-beza hal keadaannya, iaitu: Kerana tidak faham.
Oleh kerana kekurangan ilmu agama maka mereka tidak faham perkara
sebenarnya, tentang konsep kesederhanaan itu. Mereka ingat
betul-betullah Rasulullah suruh samakan kerja dunia dan kerja Akhirat.
Mereka ingat betullah bahawa orang yang sembahyang sunat banyak-banyak
atau yang serius beragama itu dikatakan melampau. Jadi pada mereka
konsep fifty-fifty itu memang dikira benar. Kerana menjaga kepentingan
diri. Golongan ini sebenarnya faham bahawa dunia dan Akhirat tidak boleh
disamakan seperti fifty-fifty itu. Sebab Akhirat jauh lebih besar dari
dunia. Mana boleh disamakan. Sepertimana tidak bolehnya disamakan busut
dengan gunung. Yang satu dihadapi dengan cangkul sahaja, manakala yang
satu lagi dengan buldozer. Mereka, para ulama itu, faham sebenarnya
sikap fifty-fifty itu salah. Tetapi kerana menjaga periuk nasi, maka
didiamkanlah kesalahan tersebut, bahkan turut sama dipraktikkan. Mereka
lebih hendak menjaga hati tuan-tuan besar daripada hendak menjaga ALLAH
dan Rasul. Kerana dirasanya 'tuan'nya lebih berjasa dan
berkuasa mernberinya rezeki daripada ALLAH SWT. Maka disambunglah lidah
tuan-tuan mereka. Lalu mereka pun dipuji oleh tuan-tuan mereka itu
sebagai ulama berdedikasi, dinamis dan berfikiran iuas. Berbanggalah
pula para ulama rasmi dengan pujian itu hingga lalailah mereka dan
jauhlah mereka dari ALLAH dan Rasul-Nya.
Kerana ingin menutup kelemahan diri, yang mana orang-orang alim itu
merasakan mereka tidak faham maksud Rasulullah yang sebenarnya dalam
Hadis: Sebaik-baik pekerjaan itu ialah pertengahan. Iaitu Rasulullah
suruh berusaha untuk dunia sesuai dengan umur dunia dan bekerja untuk
Akhirat sesuai dengan umur Akhirat. Tetapi bukan senang hendak berkorban
berhabis-habisan untuk Akhirat. Sebab mereka terlalu cinta dunia hingga
tidak cintakan Akhirat. Lalu demi untuk menyelamatkan keadaan itu,
mereka pun membohongi ALLAH dan Rasul dengan membenarkan konsep
fifty-fifty itu. Dengan itu sikap bakhil dan tamak serta cinta dunia
mereka itu dengan sendirinya terlindung. Begitulah halnya mengapa
tercoraknya umat Islam dengan segala kesilapan dan kelemahannya pada
hari ini. Moga-moga dengan penerangan ini kita dapat kembali menjadi
satu bangsa yang gagah yang cinta Akhirat lebih dari cintakan dunia.
Kerana cintakan Akhirat itulah rahsia kemajuan yang dituntut dalam
Islam.
APA ITU SEDERHANA DALAM ISLAM
Diposting oleh
hamba syurga
di
05.26
Tags :
info,
pengetahuan
Related : APA ITU SEDERHANA DALAM ISLAM
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar:
Posting Komentar