Jumat, 31 Maret 2017

CINTA ALLAH, CINTA RASUL, CINTA IBU BAPA


Terdapat banyak hadis sahih yang menerangkan kedudukan ibubapa di dalam Islam dan tuntutan untuk berbuat baik kepada mereka. Berikut dikemukakan sebahagian daripada hadis-hadis tersebut diikuti dengan penjelasan tentang petunjuk hukum dan pengajaran daripadanya:

1. Keredhaan Allah Terletak Pada Keredhaan Ibubapa.
2. Derhaka Kepada Ibubapa Termasuk Dosa Besar.
3. Ibu Lebih Utama Berbanding Ayah.
4. Kepentingan Menggembirakan Ibubapa.
5. Wajib Meminta Izin Ibubapa Sekalipun Dalam Urusan Agama.
6. Kehinaan Anak Yang Tidak Berbuat Baik Kepada Ibubapa Yang Lanjut Umur.
7. Tidak Boleh Membenci Dan Memutuskan Hubungan Dengan Ibubapa.
8. Doa Ibubapa Pasti Dikabulkan.
9. Anak Yang Berbuat Baik Kepada Ibubapanya Memiliki Darjat Yang Istimewa.
10. Dikabulkan Doa Anak Yang Berbuat Baik Kepada Ibubapa.
11. Ibubapa Memiliki Hak Terhadap Sebahagian Harta Anak.
12. Ibubapa Memiliki Hak Dalam Pemilihan Pasangan Hidup Anak.
HADITH PERTAMA : KEREDHAAN ALLAH TERLETAK PADA KEREDHAAN IBUBAPA.

Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.[1]

Hadis ini membenarkan apa yang disebut sebelum ini, bahawa hubungan seorang anak dengan ibubapanya memiliki kaitan dengan hubungannya kepada Allah. Jika seorang anak berbuat baik kepada kedua ibubapanya sehingga mereka redha kepadanya, maka Allah juga redha kepada anak tersebut. Akan tetapi jika seorang anak tidak berbuat baik sehingga menimbulkan kemurkaan ibubapanya, maka Allah juga murka kepadanya.

Walaubagaimanapun hendaklah diperhatikan bahawa apa yang meredhakan ibubapa tidak mengakibatkan kemurkaan Allah. Maksud saya, jangan melakukan sesuatu yang merupakan maksiat kepada Allah dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengingatkan:

Menjadi kewajipan seorang muslim untuk mendengar dan taat dalam perkara yang disukai mahupun yang dibenci selagi mana ia tidak melibatkan maksiat. Maka jika disuruh untuk melakukan maksiat maka tidak perlu mendengar dan tidak perlu mentaatinya.[2]

Di samping tidak boleh berbuat baik kepada ibubapa dalam hal-hal yang merupakan maksiat kepada Allah, kita juga tidak boleh berbuat baik kepada ibubapa dalam hal-hal yang merupakan maksiat kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda berpesan:

Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dicintainya berbanding ibubapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.[3]

Cinta kepada Rasulullah, sebagaimana yang dimaksudkan oleh hadis di atas, bukanlah sekadar perasaan di hati tetapi adalah dengan pembuktian praktikal, seperti mentaati perintah larangan baginda, mengikuti sunnahnya dan membenci bid‘ah yang merosak dan mencemari sunnah tersebut.

Oleh itu tuntutan berbuat baik kepada ibubapa haruslah selari dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah, iaitu syari‘at Islam. Justeru seandainya ibubapa menyuruh kita membelikan mereka minuman keras atau membantunya membuat acara kemungkaran seperti pesta (party) di rumah, kita tidak perlu mentaatinya. Jika kita mendapati ibubapa cenderung kepada sesuatu yang menyelisihi syari‘at Islam, hendaklah:

1. Terlebih dahulu memastikan bahawa ia benar-benar menyelisihi syari‘at Islam. Jika perkara tersebut merupakan sesuatu yang diperbincangkan oleh para ilmuan, maka hendaklah kita mengambil sikap berlapang dada. Oleh itu, sebagai contoh, jika kita cenderung kepada hukum larangan mendengar muzik manakala ayah pula gemar mendengar lagu-lagu klasik, maka hendaklah kita bersikap lapang dada. Biarkanlah ayah mendengar lagu-lagu kegemarannya.

2. Jika dipastikan bahawa ia benar-benar menyelisihi syari‘at Islam, maka janganlah ditegur secara kasar dan mendadak. Sebaliknya maafkanlah mereka, pohonkan keampunan Allah kepada mereka[5], kemudian berbincanglah secara hikmah dan lemah lembut. Kemudian jangan diharapkan perubahan secara serta merta, sebaliknya bertawakkallah kepada Allah agar pada satu masa nanti, secara bertahap-tahap, mereka akan berubah. Ikutilah sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam perkara ini, iaitu sebagaimana firman Allah:

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya. [Ali Imran 3:159]

Berdasarkan hadis-hadis yang dikemukakan di atas, dapat dirumuskan bahawa sebelum seseorang itu membuat apa-apa keputusan, hendaklah diperhatikan bahawa keputusan tersebut menepati dua syarat berikut:

1. Ia selari dengan syari‘at Islam.
2. Ia diredhai oleh ibubapanya.

Seandainya wujud pertentangan antara dua syarat tersebut, hendaklah dicari jalan untuk menghilangkan pertentangan tersebut. Ini akan dijelaskan seterusnya dalam buku ini.

Pengajaran lain yang tidak kurang pentingnya daripada hadis di atas, yakni sabda Rasulullah yang bermaksud:“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa”, ialah jika kita mengalami kehidupan yang sempit lagi serba tak menjadi, hendaklah diperhatikan hubungan kita dengan ibubapa. Ini kerana seorang anak yang berada di bawah keredhaan ibubapanya, kehidupannya akan menjadi lapang lagi mudah hasil daripada keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepadanya. Sebaliknya seorang anak yang berada di bawah kemurkaan ibubapanya, kehidupannya akan menjadi sempit dan serba tak menjadi, disebabkan kemurkaan Allah kepadanya.

Rujukan:

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya – hadis no: 1899 (
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 7144 (Kitab al-Ahkam, Bab mendengar dan taat kepada pemerintah selagi mana ia bukan merupakan maksiat).

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 15 (Kitab al-Iman, Bab mencintai Rasulullah adalah sebahagian daripada iman).

[5] Sikap yang pertama adalah memaafkan mereka dan mendoakan keampunan kepada mereka. Ini akan menenangkan hati kita, seterusnya menjadi penggerak untuk kita memahami kenapakah mereka cenderung kepada sesuatu yang menyelisihi syari‘at. Mungkinkah mereka tidak tahu, salah faham, tidak mampu, terlanjur atau memiliki sebab-sebab lain yang tidak kita fahami? Kemudian, dengan sikap memaafkan mereka dan mendoakan keampunan kepada mereka, teguran kita kepada mereka akan lebih bersifat lemah lembut dan hikmah, tidak kasar dan mendadak.
HADITH KEDUA : DERHAKA KEPADA IBUBAPA TERMASUK DOSA BESAR.

Abi Bakrah radhiallahu 'anh berkata, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah bertanya tiga kali:

“Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?”

Mereka (para sahabat) menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah!”

Baginda menjelaskan: Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan, bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.[1]

Derhaka kepada ibu adalah lebih berat dosanya, berdasarkan sebuah hadis lain dimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengkhususkan larangan berbuat derhaka kepada seorang ibu:

Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kalian berbuat derhaka kepada ibu, meminta sesuatu yang bukan haknya dan menanam bayi perempuan hidup-hidup. Dan (Allah) membenci kalian menyebarkan gosip, banyak bertanya dan mensia-siakan harta.[2]

Yang dimaksudkan dengan derhaka adalah apa sahaja perbuatan yang bertentang dengan berbuat baik dan ihsan. Antaranya, meninggikan suara, menggunakan perkataan yang kasar, sinis dan menyinggung perasaan, tidak memenuhi permintaan mereka (selagi mana ia bukan sesuatu yang bertentangan secara jelas dengan syari‘at Islam) dan membiarkan mereka dalam keadaan memerlukan bantuan, sama ada dalam bentuk rohani atau jasmani. Seorang ibu yang menangis dan seorang ayah yang termenung dalam konteks berinteraksi dengan anak lazimnya adalah isyarat bahawa mereka telah diderhakai.

‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma pernah menerangkan bahawa dosa-dosa terbesar ada sembilan, iaitu:

Mempersekutukan Allah, membunuh orang lain (tanpa hak), melarikan diri daripada pertempuran, memfitnah seorang wanita (dengan tuduhan zina), memakan riba’, memakan harta anak yatim, berbuat maksiat dalam masjid, menghina ibubapa dan (menyebabkan) ibubapa menangis disebabkan kederhakaan (anak kepada mereka berdua).[3]

Ibu dikhususkan daripada ayah kerana lazimnya kita sebagai anak-anak lebih berani bertindak derhaka kepada ibu berbanding ayah. Sifat kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan peranannya yang “hanya di rumah” menyebabkan sebahagian kita tidak menghormatinya, lantas berani bersikap derhaka kepadanya. Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memberi amaran khusus kepada kita berkenaan ibu kita, bahawa janganlah menderhakainya.


Rujukan :

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 2654 (Kitab al-Syahadat, Bab apa yang diperkata berkenaan sumpah palsu).

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5975 (Kitab al-Adab, Bab derhaka kepada ibubapa termasuk dosa besar).

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad – hadis no: 8
HADITH KETIGA : IBU LEBIH UTAMA BERBANDING AYAH.

Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata:Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya:“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”Baginda menjawab: “Ibu kamu.”Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”Baginda menjawab: “Ibu kamu.”Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”Baginda menjawab: “Ayah kamu.Luqman 31:14]

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. [al-Ahqaf 46:15]

Terdapat beberapa sebab mengapa ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah:

1. Ibu terpaksa menanggung pelbagai kesusahan, sama ada dari sudut fizikal mahupun mental, dalam proses mengandung seorang anak. Allah mengkhabarkan kesusahan ini dengan firman-Nya yang bermaksud: “…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah…” [al-Ahqaf 46:15]

2. Kesusahan ketika mengandung semakin bertambah selari dengan pembesaran janin. Kesusahan yang semakin bertambah mengakibatkan seorang ibu menanggung kelemahan demi kelemahan: “…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan…”

3. Kesusahan ini mencapai tahap paling berat ketika hendak melahirkan anak tersebut: “…dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.” Kesusahan ini diungkap oleh Allah dalam kisah Maryam ketika beliau hendak melahirkan ‘Isa:

(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” [Maryam 19:23]

Berkenaan kesusahan yang amat berat saat hendak melahirkan, Abi Burdah radhiallahu 'anh pernah melihat Ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma dan seorang lelaki dari Yaman sedang tawaf di sekeliling Ka’bah.

Lelaki tersebut sedang mendukung ibunya lalu mengeluh: “Saya baginya bagaikan tunggangan yang hina.”Lalu dia bertanya: “Wahai Ibn ‘Umar! Apakah sudah aku balas budinya?”Ibn ‘Umar menjawab: “Tidak! Walaupun setarik nafasnya (yakni ketika ibunya sedang melahirkannya)


Rujukan :

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5971 (Kitab al-Adab, Bab siapakah manusia yang paling berhak untuk dilayan dengan baik).

[2] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai.

[3] Sayang sekali kebanyakan wanita sekarang ini tidak lagi memandang mulia terhadap peranan mereka untuk melahir dan membesarkan anak. Apa yang dipandang mulia oleh Allah kini dipandang hina oleh manusia. Semua ini berlaku kerana manusia kini mengejar kemuliaan mengikut ukuran mereka sendiri. Mereka tidak sedar bahawa apa yang dianggap mulia oleh sebahagian manusia dianggap hina oleh manusia yang lain. Apa yang dianggap mulia pada masa kini akan menjadi hina pada masa akan datang. Ringkasnya, kemuliaan mengikut ukuran manusia sentiasa bersifat nisbi manakala kemuliaan mengikut ukuran Allah sentiasa bersifat hakiki.

[4] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad
HADITH KE EMPAT : KEPENTINGAN MENGGEMBIRAKAN IBUBAPA.


‘Abd Allah ibn ‘Amr radhiallahu 'anh menerangkan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata:“Sesungguhnya aku datang untuk memberi janji taat setia (bai‘ah) kepada engkau untuk berhijrah, akan tetapi aku meninggalkan kedua orang tuaku dalam keadaan menangis.” Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata kepadanya:“Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa (gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu jadikan mereka menangis.”[1]

Berhijrah adalah salah satu tuntutan Islam yang amat penting.
Malah Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi amaran keras kepada sesiapa yang enggan berhijrah tanpa alasan yang munasabah. Firman Allah:”Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata:“Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?”
Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi.”
Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. [al-Nisa’ 4:97-99]

Termasuk orang yang dimaafkan kerana tidak berhijrah adalah sebagaimana hadis di atas, dimana jika berhijrah akan menyedihkan ibubapanya, maka yang lebih utama adalah dia tidak berhijrah dan kembali menggembirakan mereka.
Dalam hadis ini terkandung petunjuk bahawa menggembirakan ibubapa adalah salah satu daripada tuntutan agama. Oleh itu janganlah kita melakukan sesuatu tindakan yang menjauhkan ibubapa daripada kegembiraan, apatah lagi jika ia menyedihkan mereka. Tidak ada cara yang terhad untuk menggembirakan ibubapa, asalkan ia tidak melibatkan sesuatu yang dilarang oleh syari‘at. Kerap kali menghubungi mereka, sering kali menziarahi mereka, membawa mereka bercuti, membelikan mereka hadiah adalah beberapa contoh cara kita boleh menggembirakan ibubapa. Meninggalkan mereka kesunyian, tidak menjengok mereka, tidak prihatin akan hal ehwal mereka, bercakap dengan nada yang keras, memarahi mereka adalah beberapa contoh tindakan kita yang menyedihkan mereka.Timbul persoalan, bolehkah menggembirakan ibubapa dengan meraikan Mother’s Day dan Father’s Day? Sebahagian tokoh melarang sambutan Mother’s Day dan Father’s Day. Hujah mereka adalah:

   1.      Hari perayaan dalam Islam hanya dua, iaitu ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha. Apa-apa perayaan yang lain adalah bid’ah yang dilarang oleh agama.
   2.      Seandainya Mother’s Day dan Father’s Day adalah baik, sudah tentu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan menganjurkannya kepada para sahabat radhiallahu 'anhum pada zaman baginda.
   3.      Mother’s Day dan Father’s Day adalah perayaan orang bukan Islam dan kita umat Islam dilarang daripada mengikuti mereka.
   4.      Berbuat baik kepada ibu dan ayah adalah tuntutan sepanjang tahun dan bukannya pada satu dua hari tertentu dalam setahun.

Sekalipun tokoh-tokoh yang melarang adalah mereka yang dihormati, itu tidaklah bermakna hujah-hujah mereka tidak boleh dibuka untuk analisa. Dalam menganalisa hujah-hujah mereka berkenaan sambutan Mother’s Day dan Father’s day, saya dapati ianya adalah lemah. Sebabnya:

1.    Perayaan bid‘ah yang dilarang adalah perayaan yang bersangkutan dengan agama. Aidul Fitri dan Aidul Adha adalah hari perayaan keagamaan, kerana itulah pada hari tersebut kita dituntut untuk bertakbir dan melaksanakan solat sunat. Adapun hari Mother’s Day dan Father’s Day, maka ia adalah perayaan yang bersangkutan dengan adat manusia, sepertimana perayaan Hari Guru, Hari Warga Tua dan sebagainya. Tidaklah termasuk dalam perbincangan bid‘ah atau sunnah apa yang bersangkutan dengan adat manusia.

Perlu diingatkan bahawa dalam berinteraksi dengan persoalan bid‘ah, manusia terbahagi kepada tiga kumpulan:
    *      Pertama adalah mereka yang amat ketat penilaiannya, sehingga hampir semua perkara yang baru dilabel sebagai bid‘ah yang dilarang oleh Islam. Padahal sebahagian besar daripada perkara tersebut adalah sesuatu yang harus hukumnya.
    *      Kedua adalah mereka yang bermudah-mudahan penilaiannya, sehingga hampir semua perkara yang baru dilabel sebagai bid‘ah hasanah. Padahal di antara perkara tersebut ada yang benar-benar merupakan bid‘ah yang dilarang oleh Islam.
    *      Ketiga adalah mereka yang berada di pertengahan, tidak berlebih-lebihan dan tidak pula bermudah-mudahan. Setiap perkara yang baru tidak akan dilabel sebagai bid‘ah mahupun sunnah melainkan terlebih dahulu dianalisa secara mendalam.

2.    Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak menganjurkan Mother’s Day dan Father’s Day pada zaman baginda kerana suasana yang memerlukannya tidak wujud. Di kalangan sahabat, ada yang ibubapa mereka memusuhi Islam. Maka sememangnya tidak perlu berbuat baik kepada mereka. Bagi sebahagian sahabat yang lain, mereka tinggal bersama atau berhampiran ibubapa sehingga tidak memerlukan hari yang istimewa untuk berbuat baik kepada ibubapa.

Berbeza dengan masa kini, kebanyakan kita (anak-anak) berada jauh daripada ibubapa, sama ada kerana pembelajaran atau kerjaya. Suasana ini menyebabkan kita perlu mencari ruang untuk berbuat baik kepada ibubapa semampu boleh sambil meneruskan kehidupan sendiri. Meraikan ibubapa pada Mother’s Day dan Father’s Day adalah salah satu daripada ruang tersebut.

3.    Tidaklah semua yang berasal daripada kaum bukan Islam adalah dilarang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sendiri pernah meminta para tawanan Perang Badar untuk mengajar umat Islam membaca dan menulis. Baginda juga pernah beberapa kali menggunakan strategi peperangan bangsa lain dalam ekspedisi jihadnya.
Justeru larangan mengikuti kaum bukan Islam sebenarnya ditujukan kepada sesuatu yang merupakan ciri-ciri keagamaan mereka yang masih dipraktikkan. Merujuk kepada hari perayaan, kita umat Islam dilarang untuk turut serta merayakan atau meniru hari keagamaan mereka, seperti Hari Easter, Hari Thaipusam, Hari Wesak dan sebagainya. Mother’s Day dan Father’s Day bukanlah hari keagamaan kaum bukan Islam.

4.    Hujah “Berbuat baik kepada ibu dan ayah adalah tuntutan sepanjang tahun dan bukannya pada satu dua hari tertentu dalam setahun” adalah bukti bahawa yang berhujah tidak berpijak di atas bumi yang nyata. Bahkan ia boleh digunakan untuk bertanya kembali kepada mereka: “Jika begitu kenapakah anda saat ini tidak berada dan sentiasa berada di sisi ibubapa anda?”
Berbuat baik kepada ibubapa tidaklah bererti duduk di sebelah mereka sepanjang masa. Akan tetapi ia adalah mengimbangi dengan adil antara berbuat baik kepada mereka dan meneruskan kehidupan sendiri. Salah satu daripada perimbangan tersebut ialah meraikan ibubapa pada hari Mother’s Day dan Father’s Day. Sudah tentu adalah lebih baik jika anak-anak dapat mewujudkan ruang yang lebih kerap untuk berbuat baik kepada ibubapa mereka. Ini akan saya jelaskan seterusnya dalam buku ini, insya-Allah.
Oleh itu meraikan Mother’s Day dan Father’s Day adalah harus, terbuka kepada kedudukan setiap anak-anak. Sesiapa yang mendapati ianya dapat menggembirakan ibubapa mereka, maka teruskanlah. Namun sesiapa yang dapat mewujudkan ruang lain untuk menggembirakan ibubapa mereka tanpa terhad kepada Mother’s Day dan Father’s Day, sudah tentu ia adalah lebih baik. Penjelasan yang sama juga ditujukan kepada beberapa hari-hari yang lain seperti sambutan Hari Jadi.

Rujukan :
[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai

HADITH KE LIMA : WAJIB MEMINTA IZIN IBUBAPA SEKALIPUN DALAM URUSAN AGAMA.

Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh berkata: Sesungguhnya seorang lelaki dari Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (untuk berjihad) lalu baginda bertanya: “Adakah kamu mempunyai seseorang di Yaman?” Dia menjawab: “Ibubapa aku.” Rasulullah bertanya: “Adakah mereka memberi izin kepada engkau?” Dia menjawab: “Tidak.” Rasulullah bersabda: “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin dari mereka berdua. Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.Petunjuk Pertama:

Kita tidak memiliki pilihan sewenang-wenangnya untuk keluar rumah melainkan perlu terlebih dahulu mendapat izin dan redha ibubapa. Keluar daripada rumah boleh dibahagikan kepada beberapa suasana:

Suasana Pertama:

Kita keluar untuk tujuan yang menyelisihi syari‘at, seperti pergi ke kelab hiburan malam. Tidak perlu meminta izin ibubapa dalam perkara yang sememangnya tidak diizinkan oleh syari‘at. Malah seandainya ibubapa menggalakkannya, kita tidak perlu menuruti galakan tersebut tetapi justeru menasihati dan membetulkan mereka.

Suasana Kedua:

Kita keluar untuk tujuan yang harus, seperti berjalan-jalan di taman atau ke pusat membeli belah. Perlu meminta izin ibubapa dan mencari keredhaan mereka. Seandainya mereka tidak mengizinkan, maka kita tidak boleh keluar dari rumah.

Suasana Ketiga:

Kita keluar untuk tujuan yang selari dan dituntut oleh syari‘at, seperti pergi solat berjamaah, berdakwah dan menuntut ilmu. Kita tetap perlu meminta izin ibubapa dan mencari keredhaan mereka. Seandainya mereka tidak mengizinkan, duduklah berbincang dengan secara lemah lembut dan hikmah untuk mencari jalan penyelesaian yang dipertengahan. Mungkin mereka melarang kerana berlaku salah faham atau mereka sendiri menghajatkan sesuatu daripada kita pada saat itu.


Suasana Keempat:

Kita terpaksa keluar disebabkan berlakunya sesuatu yang genting, seperti keluar berjihad apabila musuh tiba-tiba menyerang atau keluar membantu mangsa apabila berlaku kemalangan jalan raya di hadapan rumah. Dalam suasana genting seperti ini, kita hendaklah bersikap bijak dalam menimbang antara dua tuntutan agama, manakah lebih yang lebih patut diberi keutamaan (Fiqh al-Awlawiyat: فقه الأولويات). Maka dibolehkan keluar tanpa izin dan redha ibubapa dalam suasana yang genting lagi terpencil ini.

Perkara lain yang perlu diperhatikan adalah, sekalipun diizinkan untuk keluar rumah, kita hendaklah memerhatikan sama ada ibubapa memiliki hajat tertentu dalam tempoh pemergian itu. Ini kerana ibubapa, disebabkan oleh sifat kasih sayang yang amat mendalam, lazimnya akan mengizinkan kita sekalipun mereka pada tempoh tersebut menghajatkan sesuatu daripada kita. Justeru jika jelas kelihatan bahawa ibubapa memiliki hajat tertentu, janganlah keluar melainkan dilaksanakan terlebih dahulu apa yang dihajati oleh mereka.

Petunjuk Kedua:

Seandainya kita adalah seorang anak yang ingin memeluk Islam, perlukah meminta izin daripada ibubapa yang bukan Islam? Jawapannya dapat diperincikan kepada tiga tahap seperti berikut:

Tahap Pertama:

Hukum asal adalah tidak perlu, iaitu boleh memeluk Islam tanpa keizinan ibubapa. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku (dengan tauhid dan amal-amal yang shalih). Kemudian kepada Aku-lah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.[Luqman 31:15]

Firman Allah yang bermaksud: “Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku” menunjukkan boleh meneruskan hajat untuk memeluk Islam dan bersama orang-orang Islam yang lainnya.

Walaubagaimanapun adalah lebih molek jika diberitahu kepada ibubapa akan hajat kita untuk memeluk Islam. Seorang rakan karib saya, Muhammad Rafiq @ Saw Eng Sian, menerangkan kepada saya bahawa sebenarnya kaum bukan Islam amat terbuka lagi tertarik untuk mendengar apa-apa penjelasan tentang Islam. Lebih-lebih lagi pada masa kini dimana banyak peristiwa yang negatif dikaitkan dengan Islam oleh pihak media. Mereka ingin mengetahui apakah versi yang sebenar daripada peristiwa tersebut. Lanjutan daripada keinginan tersebut, mereka juga ingin tahu tentang apakah Islam secara keseluruhannya.

Justeru janganlah merasa segan atau berat untuk memberitahu kepada ibubapa akan hajat untuk memeluk Islam. Insya-Allah, jika diberitahu secara hikmah dan bertahap-tahap, mereka akan memahami hajat tersebut dan menyetujuinya. Dengan kefahaman dan persetujuan mereka, proses memeluk Islam akan menjadi lebih mudah. Di samping itu kita juga boleh meneruskan hubungan yang baik bersama mereka dan dapat “…bergaul dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” Malah mungkin ia juga dapat membuka ruang untuk menjemput mereka untuk turut memeluk Islam.

Tahap Kedua:

Jika ibubapa yang bukan Islam melarang kita daripada memeluk Islam, maka tidak perlu mentaati larangan tersebut sebagaimana firman Allah dalam ayat 15 surah Luqman di atas, yang bermaksud: “…maka janganlah engkau taat kepada mereka.”

Sa‘ad bin Abi Waqqas radhiallahu 'anh menerangkan: Umm Sa‘ad bersumpah tidak akan berkata-kata selama-lamanya sehinggalah (Sa‘ad bin Abi Waqqas) kafir (keluar) daripada agamanya (Islam). (Dia juga bersumpah) tidak akan makan dan tidak akan minum. Dia berkata: “Kamu (Sa‘ad) berkata bahawasanya Allah berwasiat kepada kamu untuk berbuat baik kepada orang tua kamu padahal aku adalah ibu kamu, dan aku menyuruh kamu untuk melakukan ini (keluar daripada Islam).”

Sa‘ad meneruskan, “Ibuku meneruskan nekadnya itu selama tiga hari sehingga pengsan kerana kesungguhannya itu. Lalu datang anaknya (yang dikatakan bernama ‘Imarah) berdiri mendekatinya dan memberinya minum. Kemudian dia memanggil Sa‘ad. Maka Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan dalam al-Qur’an ayat berikut: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Aku-lah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” [Luqman 31:14-15][3]

Walaubagaimanapun seandainya kita dilarang oleh ibubapa untuk memeluk Islam, hendaklah kita cuba mencari jalan untuk berbincang dengan mereka secara bertahap-tahap, secara sopan dan hikmah. Lazimnya apabila ibubapa melarang, kemungkinan besar ia adalah kerana mereka terperanjat, salah faham tentang Islam dan menganggap masuk Islam bererti masuk Melayu. Maka jelaskanlah kepada mereka kenapa Islam menjadi pilihan kita, luruskan apa-apa salah faham mereka tentang Islam dan bersihkan anggapan mereka, bahawa memeluk Islam bukanlah bererti menjadi Melayu.[4]

Tahap Ketiga:

Dalam kes tertentu, hajat untuk memeluk Islam mungkin mengakibatkan suasana yang amat genting kepada kita dan/atau ibubapa. Kita mungkin akan dipulau oleh ibubapa, menyebabkan kita tidak memiliki tempat berteduh, pakaian, makanan dan minuman. Sekalipun terdapat beberapa institusi agama yang bertanggungjawab membantu “saudara baru”, khabar yang lazim diterima adalah institusi-institusi itu tidak melaksanakan tanggungjawab tersebut sepenuhnya.

Selain itu ibubapa yang memulau mungkin akan menghadapi gangguan emosi dan kesihatan, lebih-lebih lagi jika kita adalah anak kesayangan mereka atau satu-satunya anak mereka.

Apa yang dialami oleh Sa‘ad bin Abi Waqqas dalam hadis Shahih Muslim di atas bukanlah dalil mutlak dalam persoalan ini. Sebabnya, suasana yang berbeza serta individu yang berbeza akan melalui cubaan ini dengan cara yang berbeza. Ada yang lulus dan ada yang gagal. Islam sentiasa prihatin akan kemampuan berbeza-beza yang dimiliki oleh umatnya, maka dengan itu sentiasa memberi jalan keluar kepada mereka yang memerlukannya.

Jalan keluar yang dimaksudkan ialah meneruskan hajat untuk memeluk Islam tetapi menyembunyikannya daripada pengetahuan ibubapa. Ayat berikut menjadi rujukan: Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman (maka baginya tidak ada kemurkaan dan azab dari Allah). [al-Nahl 16:106]

Suasana genting yang dihadapi oleh kita adalah seumpama suasana terpaksa yang dimaksudkan dalam ayat di atas. Maka tidak mengapa jika menyembunyikan iman asalkan hati kita tenang tenteram dengannya. Kemudian hendaklah secara bertahap-tahap mencari jalan untuk menzahirkannya. Cara yang terbaik ialah tetap berusaha untuk berbincang dengan ibubapa. Di samping itu mintalah nasihat daripada orang-orang yang sebelum ini pernah menghadapi dugaan yang seumpama.

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+
Tags :

Related : CINTA ALLAH, CINTA RASUL, CINTA IBU BAPA

0 komentar:

Posting Komentar